LATAR BELAKANG ORANG SUNGAI
Sabah yang sebelumnya lebih dikenali sebagai Borneo Utara merupakan negeri yang kedua besarnya di Malaysia dengan keluasan 29,338 batu persegi. Keadaan taburan penduduk Sabah adalah tidak rata, setengah – setengah tempat menjadi tumpuan penduduk sementara tempat lain mengalami kekurangan penduduk. Lebih daripada 50% penduduk tinggal di pantai Barat dan selebihnya di pantai Timur seperti di Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau serta di Lembah – lembah Sungai Pegalan, daerah Residensi Pedalaman.
Menurut perangkaan tahunan Sabah 1985, Sabah mempunyai penduduk berjumlah 1,011,046 orang. Perangkaan ini disesuaikan berasaskan anggaran kurang perhitungan penyiasatan selepas banci mengikut keturunan tahun 1980.
Kumpulan etnik yang terbesar sekali jumlahnya ialah Kadazan Dusun. Diikuti oleh Bajau, Murut dan beberapa etnik yang lain termasuk suku kaum Sungai yang merupakan di antara banyak kaum yang terdapat di negeri JUMLAH PENDUDUK, SEBARAN DAN SUKU – SUKU
Jumlah penduduk dari kaum Sungai adalah kecil jika dibandingkan dengan kumpulan etnik yang lain. Mengikut banci penduduk dan perumahan Malaysia 1970, golongan masyarakat penduduk dari kaum Sungai berjumlah lebih kurang 17,687 orang iaitu satu jumlah yang kecil bila dibandingkan dengan jumlah keseluruhan penduduk negeri Sabah. Kebanyakan daripada suku ini tinggal dipesisiran Sungai Kinabatangan, Sungai Paitan, Sungai labuk, Sungai Segama dan sedikit di daerah Kudat. Kebanyak daripada mereka beragama Islam. Mengikut R.Jalimin Jainin, orang – orang Sungai memeluk agama Islam hasil dari pengaruh orang Bajau terutama dizaman pemberontakan Mat Salleh. Bagaimanapun ada juga segelintir dari orang Sungai menganut agama Kristian dan yang tak beragama atau Pagan.
Golongan etnik ini dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian kecil iaitu:
1. | Suku Segama | 6. | Suku Tembenowo |
2. | Suku Idahan | 7. | Suku Pengarah |
3. | Suku Subpan | 8. | Suku Puawang |
4. | Suku Begak | 9. | Suku Inekeng |
5. | Suku Makiang | 10. | Suku Tambangan |
Pembahagian etnik ini kepada beberapa suku merupakan satu perkara yang agak menarik kerana jarang didapati dari suku kaum etnik yang lain.
Mengikut Whelan F.G. , Orang Sungai pada asalnya adalah orang Dusun tetapi oleh kerana pada zaman itu mereka berada di bawah pemerintahan kesultanan Sulu Islam kebanyakan mereka telah menganut agama Islam ( Orang Dusun ) dan mula menetap di tepi sungai. Mereka mengasingkan diri dari orang – orang Dusun atau juga dipanggil sebagai Orang Darat oleh sesetengah penulis barat dan cuba menyesuaikan diri dan cara hidup mereka di tepi – tepi sungai sehinggalah akhirnya berlaku perubahan – perubahan dari segi cara hidup dan pertuturan. Sebagai kesan daripada pengasingan ini akhirnya lahirlah nama Orang Sungai yang dikaitkan dengan tempat tinggal tradisi mereka iaitu hidup di tepi – tepi sungai. Godfrey A. Chatfield dalam bukunya yang bertajuk GENERAL GEOGRAPHY, turut memberikan kenyataan yang sama dengan Whelan bahawa Orang Sungai sebenarnya adalah berasal dari Orang Dusun tetapi oleh kerana mereka hidup di tepi – tepi sungai dan beragama Islam mereka mula menggelarkan diri mereka sebagai Orang Sungai.
Suatu hal yang menarik mengenai asal usul Orang Sungai ialah sebuah lagenda yang mengatakan bahawa Orang Sungai lahir dari buah sakti dan telur garuda. Mengikut lagenda ini pemuda yang telah keluar dari buah sakti dan gadis yang lahir dari telur garuda tersebut telah berkahwin hinggalah akhirnya mereka mempunyai anak. Seorang yang bernama Abdullah iaitu generasi yang ke 10 mengikut lagenda ini adalah dipercayai Orang Sungai yang pertama memeluk agama Islam. Darinya dan dari lain – lain generasi keturunan pemuda yang lahir dari buah sakti dan gadis yang lahir dari telur garuda itu pun terus berkembang sehinggalah ke hari ini.
Berdasarkan lagenda ini seolah – olah Orang Sungai ini adalah golongan yang tinggi darjatnya sama seperti lagenda – lagenda yang lahir berhubung dengan kelahiran keturunan Raja – Raja Melayu dahulu seperti lagenda Bukit Seguntang. Tidak dapat dipastikan akan kebenaran lagenda ini tetapi apa yang lebih penting lagenda ini cuba menunjukkan yang orang – orang Sungai ini bukannya berasal dari Orang Dusun tetapi berasal dari buah sakti dan telur garuda. Apa yang menarik melalui lagenda ini ialah terdapat satu senarai nama dari lelaki yang lahir dari buah sakti tersebut hinggalah kepada keturunannya hari ini. Dan yang lebih menarik lagi ialah terdapat waris yang mendakwa ia berasal dari keturunan buah sakti dan telur garuda tersebut masih hidup dan masih menyimpan sebuah buku yang mencatitkan lagenda ini.